Menurut M.A. Sabzwari, dalam jangka masa hanya 10 tahun, Madinah yang berada di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW, berkembang pesat menjadi negara yang sangat besar wilayahnya, lengkap dengan kemudahan negara yang mencukupi54. Selama sepuluh tahun memerintah, Nabi Muhammad SAW telah berjaya memperkenalkan unsur-unsur kekuatan ekonomi yang saling mempengaruhi, yang akhirnya mewujudkan kesejahteraan masyarakat. Di kemudian hari, unsur-unsur kekuatan ekonomi ini dikenali sebagai rangkaian subsistem dari suatu sistem ekonomi yang merupakan dasar-dasar suatu sistem ekonomi Islam yang khas, yang berdimensi kesejahteraan dunia dan akhirat. Beberapa petunjuk Al-Quran dan Hadis yang boleh dijadikan rujukan ialah :
1. Tentang Ketentuan Syariah
Pada awal hijrah, Nabi Muhammad SAW mendirikan masjid di Madinah. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembentukan akidah dan akhlak ditekankan pada para pengikutnya, sehingga mereka dapat mengikuti ketentuan-ketentuan agama Islam (syariah) dengan taat. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam ayat-ayat berikut :
“…Barang siapa yang kafir sesudah beriman (tidak menerima syariat Islam), maka hapuslah amalannya dan pada hari kiamat, dia termasuk dalam orang-orang yang rugi”(Surah Al-Maa’idah [5] : 5).
“… Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh)” (Surah Al-Maa’idah [5] : 48).
2. Tentang Pemilikan Harta, Status dan Peranan Manusia
Sekali lagi M.A. Sabzwari mengatakan bahawa kuasa paling tinggi hanyalah milik Allah SWT semata-mata, dan manusia dicipta sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini55. Pemahaman terhadap prinsip ini mengharuskan manusia bersifat amanah dalam memiliki kuasa, kekayaan dan dalam memimpin masyarakat.
“Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku” (Surah Adz-Dzarariyaat [51] : 56).
“Dan Dia-lah yang menjadikan kamu penguasa (khalifah) di muka bumi ini dan Dia yang meninggikan sebahagian dari kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk menguji kamu tentang apa yang diberikan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat seksaan-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-An’aam [6] : 165).
3. Tentang Kehidupan di Dunia dan di Akhirat
Sesuai dengan petunjuk tentang syariah, ditambah dengan bekalan akidah dan akhlak yang kuat yang dimiliki oleh para pengikut Nabi Muhammad SAW, tidak sukarlah bagi mereka untuk memahami bahawa dalam ajaran agama Islam, tidak ada pemisahan di antara kehidupan di dunia dengan kehidupan di akhirat, ibarat bersatunya jasad dan roh dalam diri setiap manusia. Pencapaian dua dimensi kesejahteraan di dunia dan di akhirat ini harus diperjuangkan oleh setiap orang Islam.
Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (Surah Al-Qasas [77] : 28).
“Dan di antara mereka, ada orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka” (Surah Al-Baqarah [2] 201).
4. Tentang Mencari Rezeki di Dunia yang Dapat Menjadi Bekalan di Akhirat
Sesuai dengan petunjuk tentang kehidupan di dunia dan di akhirat, maka hanya rezeki yang halal dan baik saja yang dpaat menjadi bekalan di akhirat.
“Dan makanlah makanan yang halal dan baik dari apa yang Allah berikan kepada kamu, dan bertakwalah kepada Allah yang hanya kepada-Nya kamu beriman” (Surah Al-Maa’idah [5] : 88).
Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Wahai umat manusia! Bertakwalah kepada Allah dan carilah rezeki dengan sederhana, kerana seseorang itu tidak akan meninggal sebelum rezekinya lengkap, sekalipun Ia melambatkannya. Bertakwalah kepada Allah dan sederhanalah dalam mencari (rezeki). Ambillah apa yang halal dan tinggalkanlah apa yang haram!”
5. Tentang Menguruskan Harta yang Halal dan Baik
Rezeki yang halal dan baik harus diuruskan sesuai dengan petunjuk Allah SWT, agar dapat menjadi bekalan di dunia dan di akhirat kelak. Pengurusan rezeki sesuai dengan petunjuk Allah SWT yang membentuk pola penggunaan, simpanan dan juga pelaburan.
Tags:
Bisnis Syariah