Langkah Reformasi yang Ditempuh oleh Nabi Muhammad SAW



            Dengan latar belakang situasi sosial, politik dan ekonomi yang sedemikian, Nabi Muhammad SAW mula memerintah Madinah.  Beliau kemudian  segera melakukan reformasi dalam segala bidang, terutamanya dalam bidang Sosial-Budaya, Politik-Keamanan dan Ekonomi-Kesejahteraan Masyarakat.

            Secara umum, Dr. Muhammad Al-Ghazali mengatakan  langkah-langkah reformasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dalam rangka meletakkan dasar-dasar yang sangat diperlukan untuk melaksanakan tugas-tugasnya18, iaitu :

·                     Memperkuatkan hubungan kaum Muslimin dengan Tuhan mereka.
·                     Memperkuatkan hubungan sesama kaum muslimin.
·                     Mengatur hubungan antara kaum Muslimin dengan golongan bukan-Muslim yang tinggal di Madinah.


1.         Reformasi dalam Bidang Sosial dan Budaya
Sebagaimana yang telah disebutkan, sebelum kedatangan Rasulullah SAW, Madinah tidak memiliki sistem pemerintahan pusat.   Ini membuatkan, pada awal pemerintahannya, Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai sumber kewangan yang boleh digunakan untuk membiayai pentadbiran dan pembangunan negeri.  Jadi, Nabi Muhammad SAW tepaksa mengubah keadaan secara perlahan-lahan dengan mengatasi masalah yang lebih penting dan yang tidak bergantung pada faktor biaya.

Langkah-langkah reformasi yang dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut ialah :
a.         Membina Masjid Nabawi
Membina masjid menjadi keutamaan terpenting kerana ia merupakan sarana untuk membangun dan menguatkan akidah serta akhlak sesuatu masyarakat.  Dengan tertanamnya akidah yang kuat pada diri pengikut Rasulullah SAW, reformasi sosial budaya masyarakat dapat dimulakan dan agar bertepatan dengan ajaran Islam.
            Sebahagian besar tradisi, amalan, norma dan nilai, serta alat-alat keagamaan masa lampau dibuang.  Masjid ini menjadi tempat berbagai kegiatan dan aktiviti seperti tempat bermusyawarah, pejabat pemerintahan, mahkamah agung, markas tentera, pusat pendidikan, Baitul Mal dan lain-lain lagi. Masjid ini didirikan secara gotong royong, sehingga tidak menjadi beban kepada negeri19.

b.         Menetapkan Sistem Muakhah (Persaudaraan) di antara Golongan Muhajirin dan Anshar
            Di samping membangunkan masjid, perkara lain yang diperlukan ialah satu sistem yang dapat menjamin kesejahteraan hidup golongan Muahjirin.  Ini adalah kerana status dan keberadaan mereka meang memerlukan suatu penyelesaian yang begitu supaya mereka tidak merasakan kehidupan mereka di Madinah terlalu bergantung pada golongan Anshar.  Atas dasar itulah, sistem muakhah diperkenalkan dalam undang-undang rasmi20.

            Perasmian undang-undang itu diadakan di rumah Anas bin Malik r.a.  Muakhahterjadi di antara dua pihak : Muhajirin dan Anshar, secara berpasangan, iaitu satu orang dari setiap kelompok21.

            Muakhahterdiri dari 90 orang; 45 dari golongan Muhajirin dan 45 dari Anshar.  Dilaporkan bahawa  tidak ada seorang Muhajirin pun yang tertinggal.  Semuanya menjadi saudara dengan seorang Anshar22.

            Undang-undang sistem muakhah ini menghasilkan hak-hak khusus di antara kedua-dua pihak yang menjadi saudara.  Sebagai contoh, berlakunya tolong-menolong yang tidak hanya terbatas pada masalah-masalah khusus tetapi terbuka pada segala jenis bentuk pertolongan dalam menyelesaikan masalah kehidupan, sama ada pertolongan dalam bentuk material mahupun dalam bentuk kata-kata nasihat, masalah silaturahim ataupun cinta.   Sistem muakhah juga mencipta situasi baru, iaitu mereka dapat saling mewarisi tanpa perlu ada hubungan kekeluargaan.   Perkara ini meletakkan hubungan Muhajirin dan Anshar di tahap yang sangat tinggi, malah lebih tinggi dari persaudaraan yang diikat atas dasar kekeluargaan23.

            Sistem warisan di antara dua saudara seagama ini merupukan suatu penyelesaian yang tepat bagi situasi luar biasa di Madinah ketika itu.  Namun, apabila golongan Muhajirin sudah biasa dengan kehidupan di sana, belajar ‘bagaimana hidup’ di Madinah dan memperolehi   ghanimah(harta rampasan) dari Perang Badar, Allah SWT mengembalikan sistem warisan ke bentuk asalnya, iaitu berdasarkan pada hubungan kekeluargaan.   Penghapusan sistem warisan ini disebut dalam dua ayat Al-Quran yang berbunyi :

“Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat)24 menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.  (Surah al-Anfaal [8] : 75).

“Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati), Kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang terdekat dan mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu” (Surah an-Nisaa’ [4] : 33).

Langkah-langkah Reformasi Rasulullah SAW
·                     Memperkuatkan hubungan kaum Muslimin dengan Tuhan mereka.
·                     Memperkuatkan hubungan sesama kaum muslimin.
·                     Mengatur hubungan antara kaum Muslimin dengan golongan bukan-Muslim yang tinggal di Madinah.
Dr. Muhammad Al-Ghazali


Berkaitan dengan ayat-ayat ini, Ibnu Abbas r.a menjelaskan hanya persoalan warisan yang dihapuskan dalam sistem muakhah, manakala bantuan, pertolongan dan khidmat nasihat masih diteruskan25.  Malah, dapat ditegaskan yang muakhah di kalangan orang-orang beriman tidak dihapuskan, kecuali yang berkaitan dengan hak-hak waris.   Orang-orang mukmin, sampai bila pun, digalakkan membentuk muakhah di kalangan mereka iaitu saling bantu-membantu, menjaga ikatan silaturahim dan juga memberi kata-kata nasihat26.

c.         Menetapkan Madinah Sebagai Wilayah yang Disucikan
Seperti yang dinyatakan sebelumnya, Madinah didiami oleh beberapa suku yang sering bertikai.  Perdamaian harus segera dicapai, jadi Nabi Muhammad SAW menetapkan Madinah sebagai wilayah yang bebas dari berbagai pelanggaran dan persengketaan.   Perkara ini tertulis dalam dokumen rasmi dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, dokumen ini disimpan oleh Ali bin Abi Thalib r.a27.  Dokumen itu ditulis pada tahun ke-2 selepas hijrah.  Ath-Thabari menjelaskan, “Disebutkan bahawa pada tahun ini (tahun ke-2 H), Rasulullah SAW memiliki teks-teks dokumen bertulis yang dikaitkan ke pedangnya.”28

Ali r.a menjelaskan sebahagian daripada isi dokumen itu, “Kami tidak pernah menulis sesuatu apa pun dari Rasulullah SAW, kecuali Al-Quran dan apa yang ada dalam dokumen ini.  Rasulullah SAW bersabda, ‘Madinah adalah tempat perlindungan yang bermula dari atas gunung itu sehingga ke tempat-tempat itu (sambil menunjukkan lokasi-lokasi itu).  Jadi, sesiapa yang melakukan perbuatan bidaah ataupun melakukan dosa, ataupun memberi perlindungan kepada penjenayah, akan mendapat laknat Allah, para malaikat dan seluruh umat manusia, dan ibadahnya yang wajib mahupun yang sunnah akan diterima di sisi-Nya.’”29

Ali r.a juga menjelaskan sebahagian daripada isi dokumen yang lain, “Ibrahim menyucikan kota Mekah, dan saya menyucikan seluruh Madinah antara dua Harrah. Tidak seorang pun  boleh menanam tumbuh-tumbuhan liar ataupun berburu binatang-binatang liar.  Tidak boleh menyimpan barang-barang yang ditemui tanpa mengumumkannya terlebih dahulu.  Tidak boleh memotong pokok melainkan untuk digunakan sebagai makanan unta.  Senjata untuk beperang juga tidak boleh dibawa ke sini.”30

Dengan adanya dokumen ini, Madinah berkembang menjadi wilayah yang aman dan damai.

d.         Meletakkan Dasar-dasar Kehidupan Bermasyarakat
Rasulullah SAW membangunkan struktur-struktur masyarakat Madinah berdasarkan peraturan-peraturan yang sangat toleran, melampaui kebiasaan yang berlaku pada zaman itu, yang mana dipenuh dengan fanatisme kesukuan dan kebanggaan kaum.31

Ketika itu, beliau mendapati yang golongan Yahudi telah lama tinggal di Madinah dan hidup bersama-sama dengan kaum musyrikin.  Rasulullah SAW langsung tidak pernah terfikir untuk memusuhi ataupun menyingkirkan mereka dari tanah Madinah.  Sebaliknya, beliau dapat menerima dengan baik kehadiran orang-orang Yahudi dan adanya paganisme di kota itu.  Beberapa waktu kemudian, beliau menawarkan perjanjian perdamaian kepada kedua-dua golongan dan memberi kebebasan kepada tiap-tiap kaum untuk menganut agama masing-masing32. 

Beliau menjalankan kepimpinannya dengan menerapkan system musyawarah, ukhuwwah Islamiah dan menjalin hubungan baik dengan pihak-pihak lain yang tidak beragama Islam dan yang menetap di Madinah.

2.         Reformasi di Bidang Politik dan Keselamatan
Nabi Muhammad SAW menjalin hubungan dengan berbagai lapisan masyarakat di Madinah dan semua ini tercatat dalam sebuah catatan berdasarkan sumber-sumber sejarah.  Tujuan catatan ini adalah untuk menunjukkan kesungguhan setiap kelompok di Madinah dengan memberi batasan hak-hak dan kewajipan.  Dalam sumber-sumber lama, catatan ini dipanggil al-Kitab (buku) dan ash-Shahifah(koleksi lembaran-lembaran kertas).  Kajian moden memanggilnya ad-Dustur(konstitusi) ataupun al-Watsiqah(dokumen)33.  Para pengkaji kontemporari menggunakan catatan ini sebagai dasar kajian mereka tentang reformasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW di Madinah34.

Pada awalnya, dokumen itu mengandungi dua bahagian.  Satu bahagian berkaitan dengan perjanjian damai Nabi Muhammad SAW dengan golongan Yahudi, dan yang satu lagi menghuraikan komitmen, hak-hak dan kewajiban kaum Muslimin, sama ada golongan Muhajirin ataupun golongan Anshar35.  Para ahli sejarah menyatukan kedua-dua perjanjian ini menjadi satu dokumen yang dikenali dengan nama Piagam Madinah36.  Dengan adanya konstitusi ini, Madinah mempunyai kedaulatan penuh sebagai sebuah Negara37.  Pemerintah dan penguasa kebanyakannya terdiri dari kaum Muslim, sehingga Madinah benar-benar menjadi ibukota bagi Islam38.

Langkah-langkah reformasi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam bidang politik dan keselamatan ialah :

a.         Membangun Sistem Pertahanan
Piagam Madinah mencerminkan keinginan kaum Muslim menjalin kerjasama dan saling bantu-membantu dengan golongan Yahudi, yang bertujuan untuk menjamin kesejahteraan di seluruh kota Madinah.   Pada masa yang sama, ia juga bertujuan untuk menghadapi penentang dan pihak-pihak lain yang menganggu ketenteraman dan menimbulkan kekacauan.  Piagam itu juga menunjukkan kewajiban semua pihak yang berjanji untuk menjaga hubungan baik dan memelihara hak-hak individu dan masyarakat39.

            Dengan begitu, seluruh anggota masyarakat Madinah tidak terkecuali dari tanggungjawab membela dan mempertahankan kedaulatan negara.

            Pada waktu itu, tidak ada pasukan tentera yang rasmi ataupun jabatan pertahanan.  Nabi Muhammad SAW kemudiannya membentuk sebuah pasukan sukarela yang berjihad mempertahankan diri dan negara dari serangan musuh40.    Perjanjian damai dengan kabilah-kabilah di sekitar Madinah juga dilakukan untuk menguatkan kedudukan Madinah.

            Pembentukan pasukan sukarela dengan semangat jihad ini telah berjaya mempertahankan Madinah dari serangan kaum musyrik QUraisy dalam Perang Badar tahun ke-2 Hijrah, Perang Uhud tahun ke-3 Hijrah dan peperangan lainnya yang berlaku selepas tahun ke-6 Hijrah.
                                                             
            b.         Membentuk Majlis Ulama dan Sekretariat Negara
            (i)         Pembentukan Masjlis Ulama
            Rasulullah SAW memegang tanggungjawab sebagai Ketua Negara, pemimpin dalam undang-undang, Kadi Besar dan Mufti.  Beliau juga memimpin dan bertanggungjawab atas keseluruhan pentadbiran Negara.  Untuk melengkapi pemerintahannya, Rasulullah SAW membentuk Majlis Ulama iaitu seperti sebuah lembaga tinggi negara yang turut merumus berbagai polisi.   Anggota majlis ini terdiri dari pemimpin-pemimpin kaum, di mana sebahagian dari mereka bertanggungjawab mencatat wahyu41.

(ii)               Pembentukan Sekretariat Negara
Pada tahun ke-6 Hijrah, sebuah sekretariat negara yang sederhana dibentuk.   Wakil negara dihantar ke berbagai negara. Mereka menjalankan tugas secara sukarela dan menyara kehidupan sendiri.  Dalam Sekretariat Negara, Bilal bertugas mengurus keperluan rumah-tangga Rasulullah SAW dan bertanggungjawab mengurus tetamu-tetamunya42.

3.         Reformasi dalam Bidang Ekonomi dan Kesejahteraan Rakyat
a.         Memperkenalkan Dasar-dasar Polisi Kewangan Negara
Ketika Nabi Muhammad SAW membina Madinah, banyak jabatan pemerintahan belum lagi dibentuk.  Perkhidmatan diberikan  kepada orang ramai secara sukarela dan percuma.  Nabi Muhammad SAW juga menggalakkan kaum mukminin agar menjalankan projek-projek tertentu.  Para sahabat menyahut seruan itu dan memenuhi keperluan social secara sukarela.

Ketika berlakunya darurat seperti dalam peperangan, persiapan penting selalunya dibiayai oleh para dermawan Muslim.   Pengembaraan yang paling penting, iaitu pengembaraan ke Tabuk yang melibatkan 30,000 orang tentera dan 10,000 ekor kuda, dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan sukarela43.  Dalam hal lain, salah seorang sahabat membeli sungai untuk kepentingan umum ketika berlakunya kekurangan air43.

Pada awal pemerintahan Nabi Muhammad SAW, pendapatan negara sangat kecil.  Sumber-sumber pendapatan hanya berasal dari zakat fitrah yang diwajibkan pada tahun ke-2 Hijrah.  Walaupun begitu, semua pendapatan dan hasil yang berjaya dikumpul selalunya digunakan untuk membantu anggota masyarakat yang miskin.

Setelah Perang Badar, yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah, pendapatan negara semakin bertambah, iaitu satu perlima dari harta rampasan peperangan (ghanimah)yang disebut khumus, berdasarkan ayat Al-Quran Surah Al-Anfaal ayat 41.  Sebagai pihak yang menang dalam Perang Badar, selain khumus, diperolehi juga pendapatan dari tebusan tawanan perang, bagi yang ditebus.45

Penerimaan khumus ini membantu negara menjalankan berbagai fungsi penting seperti pertahanan, memenuhi keperluan seharian, membantu orang miskin, anak-anak yatim dan juga anggota tentera.  Nabi Muhammad SAW juga menggunakan pendapatan ini untuk kebaikan kaum muslimin dan perbelanjaan keluarganya.46    Jadi, penerimaan khumus – walaupun kecil – banyak membantu dalam pelaksanaan berbagai fungsi sosio-ekonomi negara.  Di samping itu, ghanimah juga memiliki kesan ekonomi kerana ia membantu meringankan masalah kewangan para tentera.47

Sebagai kesan dari pengkhianatan Bani Nadhir terhadap Nabi Muhammad SAW setelah Perang Uhud, mereka memilih untuk meninggalkan Madinah.  Tanah milik mereka yang ditinggalkan – yang dipanggil fai’ – diberi kepada golongan miskin.   Di samping itu, Nabi Muhammad SAW menjadikan tanah fai’yang menjadi bahagiannya sebagai tanah sedekah dan ini adalah tanah wakafpertama dalam sejarah Islam.48     Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW berusaha sedaya upaya untuk menegakkan suatu keseimbangan yang wajar dalam masyarakat dengan memberi seluruh kekayaan yang diperolehi dari fai’ kepada golongan miskin.49

Berkaitan dengan pengagihan fai’ ini, Nabi Muhammad SAW sangat taat pada perintah Allah SWT yang melarang kekayaan itu terkumpul di tangan orang-orang kaya saja.  Beliau mengagihkan fai’ sesuai dengan  dengan petunjuk Allah SWT, seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran  :

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar ataupun desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan bagi kaum kerabat (Rasulullah) dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang memerlukan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah   kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya)” (Surah Al-Hasyr [59] : 7)

Ayat ini menjelaskan satu prinsip yang sangat penting, iaitu negara harus sentiasa menolong orang-orang susah melalui setiausaha negara ataupun dari kelebihan harta orang-orang kaya, sehingga jurang pemisah di antara kaya dan miskin tidak akan bertambah besar, yang mungkin dapat menganggu keseimbangan masyarakat Islam.50

Oleh kerana adanya sumber-sumber pendapatan negara, maka sebuah lembaga untuk mengurus kepentingan kewangan negara diperlukan.

            b.         Membentuk Baitul Mal sebagai Kekayaan Umum
            Menurut Dr. Kadim as-Sadr, apabila pendapatan yang diperolehi dari khumus, zakat, jizyah, kharaj (sewa tanah) itu tinggi, Nabi Muhammad SAW memerintahkan agar duit itu digunakan untuk membayar gaji orang yang dihantar ke tempat jauh untuk menyebarkan agama.51    Oleh kerana kharaj dan jizyah (cukai) baru ditetapkan pada tahun ke-7 Hijrah, Baitul Mal yang dibentuk pada awal pemerintahan mungkin bertindak sebagai pusat pengumpulan dan pembahagiaan kekayaan umum.  Menurut sumber lain, Baitul Mal yang bertindak sebagai Pejabat Perbendaharaan Negara hanya dibentuk ketika pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (634-644).52

            c.         Mengembangkan sumber-sumber Pendapatan Negara
            Pengembangan sumber-sumber pendapatan negara berjalan sesuai dengan perkembangan keadaan dan petunjuk Al-Quran.  Sebagaimana yang telah disebut sebelum ini, sumber penerimaan negara yang pertama ialah khumus, pada tahun ke-2 Hijrah, sesuai dengan ayat Al-Quran surah Al-Anfaal, ayat 41.  Pada tahun yang sama, sedekah fitrah atau zakat fitrah diwajibkan, kemudian wakaf pada tahun ke-3 Hijrah, sesuai dengan Surah Al-Hasyr, ayat 7.

            Kharaj ataupun sewa tanah ditarik pada tahun ke-7 Hijrah, berdasarkan Surah Al-Anfaal, ayat 1 dan Surah Al-Hasyr, ayat 6 dan 7, ketika Khaibar ditakluk.  Kemudian, setelah kesejahteraan penduduk Muslim meningkat, zakat untuk harta dan hasil pertanian dan perkebunan, atau ushr, mula diwajibkan pada tahun ke-8 Hijrah, berdasarkan petunjuk dalam ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan di Madinah (iaitu : Surah 2 : 43, 83, 110, 177; Surah 4 : 77, 162; Surah 5 : 12, 55; Surah 9 : 5, 11, 18, 58, 60, 71, 103, 104; Surah 22 : 41, 78; Surah 24 : 37, 56; Surah 31 : 4; Surah 33 : 33; Surah 58 : 13 dan Surah 98 : 5).  Dan pada tahun ke-8 Hijrah pula, Rasulullah menetapkan jizyah dan dikenakan pada golongan bukan Islam yang mendapat perlindungan.

            Pendapatan lain ialah kafarat ataupun denda yang dikenakan kepada orang Muslim yang melakukan kesalahan, berdasarkan ayat Al-Quran yang turun di Madinah (iaitu Surah-surah 4 : 92, 5 : 95 dan 66 : 2), ushr, iaitu bayaran cukai tahunan yang dikenakan kepada semua pedagang, untuk barang yang bernilai lebih dari 200 dirham, tebusan tawanan perang kecuali perang Hunain, khumus ataupun rikaz harta karun, amwal fadhla (harta tidak bertuan), nawaib (cukai yang dikenakan pada orang kaya untuk memenuhi keperluan negara semasa darurat) dan juga pinjaman.

            Para pengumpul zakat dan usrh dihantar ke seluruh daerah dengan tugas yang jelas.  Secara rasmi, mereka tidak mendapat gaji tetapi mereka mendapat bayaran tertentu dari dana zakat.   Untuk meningkatkan perdagangan, Nabi Muhammad SAW menghapuskan ushr (cukai masuk) di daerah Islam, di mana pertukaran barang sudah berlaku.  Penghapusan cukai masuk ke atas matawang dinar dan dirham dan komoditi memberi sumbangan bermakna pada keseimbangan kewangan.   Perjalanan keluar masuk yang bebas kemudiannya dikenali dengan nama sistem pertukaran matawang bebas, manakala penghapusan cukai masuk komoditi pula dikenali dengan nama pasaran bebas.

            d.         Mengembangkan Dasar-dasar Polisi Fiskal
            Dasar-dasar polisi fiskal adalah berkaitan dengan penentuan dan kewajiban membayar kharaj, zakat, ushr, jizyah dan kafarat, termasuk penentuan tahap minimum wajib (nisab), umur orang yang wajib membayar (haul) dan tarifnya.   Oleh kerana membayar zakat bagi orang Islam adalah salah satu ibadat wajib, maka mengira jumlah zakat yang harus dibayar boleh dilakukan sendiri, berdasarkan kesedaran iman dan takwa (self assessment).

            e.         Mengembangkan Dasar-dasar Polisi Anggaran Belanjawan Negara
            Polisi belanjawan negara meliputi pengendalian pengeluaran negara dalam batas penerimaanya dan penentuan keutamaan pengeluaran, di mana dalam jangka pendek dapat memberi kesan optimum pada pengembangan kesejahteraan masyarakat.  Menurut catatan sejarah, pendapatan dari pinjaman hanya dilakukan dalam keadaan darurat seperti ketika menakluk Mekah dan pinjaman mesti diselesaikan dalam tahun itu juga.

            Nabi Muhammad SAW telah memberi lebih perhatian kepada beberapa sektor iaitu peningkatan mutu sumber manusia melalui pendidikan dan kebudayaan, serta ilmu pengetahuan; pembangunan infrastruktur  ekonomi; pembangunan pertahanan dan keselamatan dan peningkatan kesejahteraan sosial melalui penyaluran zakat, infaq dan sedekah kepada orang-orang yang layak menerimanya (tsamaniyah asnaf).

            f.          Memperkenalkan Dasar-dasar Keseimbangan Kewangan
            Oleh kerana banyaknya hubungan perdagangan di antara Parsi dan Rom, serta daerah-daerah jajahannya seperti Syam, Ethiopia dan Yemen di utara, dan hubungan perdagangan di antara Rom dan India di sebelah selatan, pasar-pasar bermusim banyak tumbuh di Yemen, Hijaz, San’a, Yatsrib dan Mekah.  Pada mulanya, urus niaga dilakukan secara barter, namu selepas itu satu jenis alat tukar umum seperti emas dan perak diperlukan untuk mempermudahkan urus niaga. 

            Menurut Dr. Kadim as-Sadr, negara Arab dan wilayah-wilayah tetangganya berada di bawah kuasa Rom dan Parsi.  Jadi mata wang emas dari Rom, yang disebut Dinar, dan mata wang perak dari Parsi, yang disebut Dirham, diperkenalkan di wilayah-wilayah itu.  Wang syiling dinar dan dirham mempunyai berat yang tetap, di mana satu dinar bernilai sama dengan sepuluh dirham.  Nilai emas dan dan perak pada duit syiling dinar dan dirham sama dengan nilai nominalnya (face value)53.  Dengan kemasukan seluruh Jazirah Arab pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW, mata wang dinar dan dirham digunakan di wilayah itu.  Namun matawang dirham lebih popular di dunia perniagaan bangsa Arab.

            Penggunaan mata wang logam agak terbatas kerana beratnya.  Sebelum kedatangan Islam, selain daripada mata wang dinar dan dirham, surat hutang (surat kredit) dan surat hutang dagangan sudah digunakan untuk urus niaga dagangan yang besar.

            g.         Menetapkan Sembilan Polis yang Berkaitan dengan Bidang Kewangan
            Pertama,membenarkan penggunaan mata wang dinar dan dirham, serta surat hutang dan surat hutang dagangan. 
            Dengan penggunaan mata wang dinar dan dirham, secara automatik   terdapat permintaan dan penawaran terhadap kedua-dua mata wang itu.  Apabila permintaan untuk dinar meningkat, dinar diimport dari wilayah jajahan Rom dengan cara mengeksport komoditi yang laku dijual di sana.  Manakala Dirham pula diimport dari Parsi dengan pertukaran komoditi yang laku dijual di sana.  Sebaliknya, apabila bekalan dinar ataupun dirham meningkat, komoditi pula yang diimport dari kedua-dua wilayah itu.

            Kedua, pembebasan tarif dan cukai masuk untuk import emas dan perak, serta komoditi dari wilayah Parsi dan Rom.

            Oleh kerana serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy (tercatat berlaku 58 peperangan ataupun lebih kurang enam kali serangan dalam setahun), kegiatan perdagangan melalui surat kiriman wang dan surat hutang menjadi terbatas dan urus niaga import-eksport terganggu.  Akibatnya, berlakulah penyimpanan mata wang dinar dan dirham.   Tujuan sebenar penyimpanan ini adalah semata-mata untuk keperluan urus niaga dan untuk tujuan berjaga-jaga kerana Rasulullah SAW telah melarang penimbunan ataupun penyimpanan wang (kanz).

            Ketiga,  larangan penimbunan wang (kanz).  Namum, masyarakat dibenarkan melebur duit emas dan perak menjadi perhiasan ataupun barang kemas, sekiranya bekalan lebih daripada permintaan.

            Keempat, larangan penimbunan barang untuk menjaga stabiliti nilai wang.  Herotan harga juga dicegah dengan larangan penahanan kafilah sebelum masuk ke pasar (talaqqir rukban).

            Kelima, larangan memberi bunga kepada duit (riba) dan ini dijalankan bersama dengan larangan menyimpan wang (kanz).   Polisi ini mempercepatkan peredaran wang yang digunakan untuk kegiatan pelaburan.

            Keenam, menggalakkan pinjaman tanpa bunga (qardhul hasan) dan lain-lain jenis perjanjian bgi hasil dan risiko.

            Polisi ini diperkenalkan untuk kaum Anshar dan kaum Muhajirin dalam bentuk mudharabah (satu pihak menyediakan modal dan pihak yang lain menyumbangkan kepakaran berniaga), muzara’ah (perkongsian hasil pertanian), musaqat (satu pihak menyediakan tanah dan pihak yang lagi satu menyediakan saliran dan tenaga kerja) dan musyarakah(kedua-dua pihak menyediakan modal).   Polisi ini meningkatkan pengeluaran dan pada masa yang sama mempercepatkan peredaran wang.

            Ketujuh, mencegah kegiatan spekulasi.   Nabi Muhammad SAW melarang pertukaran duit dan barang (jual-beli) beberapa hari selepas perjanjian ditanda-tangani ataupun sekarang dipanggil perdagangan ke depan (future trading).

            Kelapan, meningkatkan pengeluaran barangan dan perkhidmatan.  Perkara ini dilaksanakan dengan cara pembahagian tanah yang ditinggalkan oleh Bani Nadhir dan pembahagian tanah untuk perumahan, berkongsi ilmu pengetahuan dan kemahiran dari Parsi dan Rom untuk kegiatan-kegiatan pertanian, pembinaan, kedoktoran dan kraftangan.  Ini menyebabkan hasil pertanian, kraftangan dan kegiatan di bidang perkhidmatan meningkat.

            Kesembilan, penghapusan monopoli dagang kaum Quraisy di pasar Ukaz dan Dul-Majaz, setelah penaklukan Mekah.  Penghapusan monopoli ini telah meningkatkan kecekapan dan pengagihan pendapatan  yang lebih baik.   Permintaan terhadap wang meningkat sehingga mempercepatkan peredara wang.

            Kesembilan polisi yang dinyatakan di atas dilaksanakan dengan baik. Sepanjang pemerintahan Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat catatan tentang pergolakan kewangan.

Posting Komentar

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Lebih baru Lebih lama