Sebagai kepala negara di sebuah negara baru, iaitu Madinah, Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan berbagai tentangan dan halangan. Beberapa masalah yang dapat dikenalpasti pada awal pemerintah Nabi Muhammad SAW meliputi masalah yang berkaitan dengan situasi sosial, politik dan ekonomi, yang mana kesemuanya belum tertata sesuai dengan ajaran Islam.
1. Masalah sosial
Masalah sosial timbul kerana belum ada hukum dan peraturan yang berlaku secara umum. Pada waktu itu, penduduk Madinah terdiri daripada tiga kelompok masyarakat yang berbeza14. Kelompok pertama ialah kaum Muslimin, yang terdiri dari Kaum Anshar (Suku Aus, Khazraj dan penduduk asli negara Arab) dan Kaum Muhajirin.
Kelompok kedua ialah orang-orang musyrik yang menetap di beberapa kabilah di Madinah. Ada di antara mereka memeluk agama Islam tidak lama selepas hijrah. Namun, ada juga di antara mereka yang menyimpan perasaan dendam terhadap Rasulullah SAW tetapi tidak berani menunjukkannya. Tokoh kelompok ini ialah Abdullah bin Ubay bin Salul. Setelah Perang Bu’ats, dia telah dilantik sebagai pemimpin Yatsrib oleh kedua-dua suku besar yang bertikai (iaitu Aus dan Khazraj). Tetapi sebelum perlantikan itu dijalankan, berita tentang kedatangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya tersebar luas, dan akhirnya kaumnya sendiri ramai yang berpaling darinya.
Kelompok ketiga ialah kaum Yahudi, yang terdiri dari tiga kumpulan besar (Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizhah) dan kira-kira 20 suku kecil.
2. Masalah Politik
Pada awal pemerintahannya, Rasulullah SAW terpaksa berhadapan dengan keadaan dalaman di dalam Madinah, iaitu dua kelompok masyarakat yang memendam kebencian terhadap Rasulullah SAW dan Islam. Mereka ialah golongan Yahudi dan golongan Musyrikin di bawah pemimpinan Abdullah bin Ubay. Di samping itu, Nabi Muhammad SAW juga berhadapan dengan keadaan luaran dari luar Madinah, iaitu tekanan dari pihak Quraisy, yang dengan kedudukannya sebagai penjaga Ka’abah, menggunakan diplomasi politik untuk menggalakkan orang-orang Musyrik di seluruh Jazirah Arab agar memusuhi penduduk Madinah, sehingga menjadikan Madinah wilayah yang tidak dipedulikan dan tidak mendapat hasil dari luar15.
3. Masalah Ekonomi
Tonggak ekonomi di Madinah adalah pertanian dan penternakan, manakala kepakaran kaum Muhajirin adalah berdagang. Di samping itu, kaum Muhajirin yang datang dengan jumlah yang ramai ke Madinah memerlukan belanja hidup dan tempat tinggal yang sesuai. Kaum Anshar berkongsi pohon-pohon kurma mereka dan menawarkan tanah-tanah mereka kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kepada akum Muhajirin. Beliau kemudiannya membina rumah-rumah di atas tanah-tanah tersebut.16
Di sinilah terlihatnya kedermawanan kaum Anshar, seperti yang digambarkan dengan indah dalam Al-Quran :
“Dan orang-orang (Anshar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Hasyr [59] : 9).
Tags:
Bisnis Syariah