Bunga Sebagai Komponen Ekonomi



            Kebiasaan membungakan wang sudah menjadi sebahagian daripada perekonomian masyarakat Arab, seperti juga di negara-negara lain di dunia.  Pada kenyataannya, bunga memang sudah dianggap sebagai satu komponen yang sangat penting dalam sistem perekonomian yang sedia ada.  Namun, Islam mengangggap bunga sebagai satu kejahatan ekonomi yang membawa pengaruh buruk dan bahaya kepada ekonomi dan kehidupan sosial masyarakat.   Jadi,  Al-Quran yang menggunakan perkataan “riba” (untuk bunga) mengatakan yang bunga adalah haram dalam kehidupan masyarakat Islam.  Oleh kerana bunga telah berakar sedemikian rupa dalam kehidupan masyarakat, Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui menurunkan larangan tentang bunga secara berperingkat, supaya peraturan baru dan larangan itu tidak mengganggu keadaan ekonomi masyarakat ataupun menimbulkan kesulitan kepada mereka11.


            Masyarakat Arab pra-Islam sendiri tidak mengasingkan riba daripada perniagaan.  Mereka memang menganggap riba sebagai salah satu bentuk perdagangan. Mereka berpendapat, kalau seseorang membeli sehelai kain yang berharga 2 dinar dan menjualnya dengan harga 2.5 dinar, itu adalah urusniaga yang wajar.  Begitu juga apabila seseorang memberi pinjaman sebanyak 2 dinar dan peminjamnya membayar 2.5 dinar. Urusniaga itu juga dianggap wajar dan halal kerana kedua-dua urusniaga itu dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak12.

            Al-Quran telah meluruskan pemikiran yang keliru itu.  Perniagaan tidak boleh melibatkan riba dan riba bukanlah satu bentuk perniagaan.  Firman Allah SWT berbunyi :

            “…Keadaan mereka yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba. Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba…”  (Surah Al-Baqarah [2] : 275).

Posting Komentar

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Lebih baru Lebih lama