Interpretasi Islam terhadap sejarah berdasarkan keyakinan yang Islam adalah benar dan apa saja yang bertentangan dengan Islam adalah salah. Setiap yang disyariatkan Allah dalam Islam, sama ada yang berkaitan dengan ibadah, jihad, muamalah adalah benar dan tidak memerlukan alasan dari mana pun.
Ciri khas sejarah Islam berbeza dengan sejarah lain kerana adanya pengaruh wahyu Allah SWT. Pemahaman terhadap ciri khas ini dapat menjelaskan, contohnya, mengapa dalam sejarah Islam, iman
mendominasi setiap perilaku orang Islam. Interpretasi Islam terhadap sejarah bukanlah interpretasi yang berbentuk kebendaan, yang hanya mengakui faktor-faktor kebendaan seperti alat-alat pengeluaran adalah satu-satunya benda yang memberi pengaruh terhadap sejarah umat manusia, sebagaimana ideologi Marxis1. Ia juga bukan interpretasi material yang mengganggap perubahan sejarah berasal dari faktor-faktor luaran, seperti lingkungan fizik, iklim, geografi, ekonomi dan lain-lain, sebagaimana ideologi Barat2.
Interpretasi Islam secara jelas menunjukkan tanggungjawab dan peranan manusia dalam mempengaruhi perubahan sejarah dalam rangka kehendak Allah SWT. Oleh kerana itu, interpretasi Islam tidak bersifat perkauman yang memberi lebih keutamaan kepada kaum tertentu, tetapi mengakui peranan-peranan seluruh lapisan masyarakat, sesuai dengan sumbangan masing-masing secara bertepatan3.
Satu fakta yang tidab dapat dibantah oleh sesiapa pun ialah fakta yang mengatakan peradaban Islam adalah peradaban besar yang berlangsung dalam bilangan abad. Yang dimaksudkan dengan peradaban besar di sini bukanlah peradaban yang difahami oleh Barat selama ini – yang hanya diukur melalui pencapaian material semata-mata. Peradaban menurut Islam mengambilkira pencapaian tujuan asasi penciptaan makhluk yang telah ditentukan oleh Allah SWT, iaitu mengabdi diri kepada-Nya. Perhatikan firman Allah yang berikut :
“Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku,” (Surah Adz-Dzaariyat : 56).
Jadi, menurut Islam, peradaban besar adalah peradaban yang mencipta persekitaran yang sesuai secara politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan kebendaan, dan dapat membuat rakyatnya mengamalkan perintah-perintah Allah dalam semua aktivitinya4. Ataupun dalam ungkapan Dr Yusuf Al-Qardhawi, peradaban yang memerhatikan aspek material dan spiritual; idealistik dan realistik; rabbani dan insani; bermoral dan membina; yang memperlihatkan aspek individu dan sosial, sekaligus peradaban yang seimbang dan sederhana5.
Walau baagaimanapun majunya suatu peradaban dalam sains, teknologi, pembinaan, ekonomi ataupun bagaimana jauhnya peradaban itu meraih kemajuan material, dalam pandangan Islam, ia tetap ketinggalan dan “terbelakang” kalau ia tidak menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pengabdian diri kepada Allah dan untuk mengamalkan ajaran-ajaran-Nya6.
Peradaban Islam sendiri telah melalui beberapa tahap. Sebahagian besar pencapaian materialnya tidak berlaku pada tempoh-tempoh awal. Namun, perilaku tempoh awal jelas lebih bertepatan dengan ajaran-ajaran syariat. Rasulullah SAW sendiri menegaskan hal ini dalam sabdanya, “Sebaik-baik generasi adalah generasiku, lalu setelah mereka dan generasi setelah itu.”
Perlu ditegaskan yang seluruh perbincangan tentang tempoh masa dalam sejarah Islam harus dinilai dari sudut pandang Islam itu sendiri. Berbagai kajian yang dilakukan akhir-akhir ini mengungkap yang pemahaman kita tentang masa-masa tertentu mungkin berubah secara ketara kalau tempoh masa itu dikaji semula, sebagaimana yang terjadi pada kes Daulah Utsmaniya ketika aliran sejarah mereka dikaji semua oleh 400 ahli sejarah Islam7.
Dengan mengkaji semula sejarah yang ada, kita dapat mengungkap fakta-fakta yang salah dan menyesatkan tentang sejarah kita. Mungkin juga akan berlaku perubahan pandangan dan pemahaman kita terhadap periode Umayyah an Abbasiyah, serta periode berikutnya.
Tags:
Bisnis Syariah