Pengaruh Sejarah Islam Terhadap Pembentukan Sistem Ekonomi Islam



            Kalau kita kaitkan fakta sejarah bangsa Arab seperti di atas dengan pendapat yang mengatakan sistem perekonomian yang dianut oleh sesuatu bangsa (negara ataupun kelompok masyarakat) dipengaruhi oleh sekumpulan nilai yang dianut oleh bangsa ataupun oleh masyarakat itu – seperti adat resam, kebiasaan, norma-norma, kepercayaan, ideologi dan falsafah – maka bolehlah kita simpulkan yang sistem ekonomi yang terbentuk pada masa zaman Rasulullah SAW, khalifah rasyidin dan kemudiannya diwariskan kepada Daulah Umayyah dan seterusnya hingga sekarang adalah :


1.                  sistem ekonomi dipengaruhi oleh adat istiadat bangsa Arab yang gemar berdagang dan
2.                  sistem ekonomi dipengaruhi sekumpulan nilai-nilai Islam

Anwar Iqbal Quresi13mendapati kebiasaan orang Arab sebelum kemasukan Islam, dalam urusan perniagaan adalah seperti berikut :
  1. Seseorang menjual sesuatu kepada orang lain dengan perjanjian yang bayaran akan dilakukan pada tarikh yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.  Apabila pembeli tidak dapat membayarnya pada tarikh yang ditetapkan, lanjutan masa akan diberi asalkan pembeli setuju membayar jumlah yang lebih tinggi daripada harga asal.
  2. Seseorang meminjamkan sejumlah wang untuk satu jangka masa tertentu, dengan syarat apabila jangka masa itu tamat, peminjam mesti membayar jumlah wang yang dipinjam itu bersama dengan satu jumlah tetap “riba” ataupun “tambahan”.
  3. Si peminjam dan pemberi pinjaman bersetuju dengan satu jumlah “riba” tertentu untuk satu jangka masa tertentu.  Kalau peminjam tidak dapat membayar hutangnya pada waktu yang ditetapkan, dia mesti membayar sejumlah “riba” yang lebih tinggi sebagai tambahan pada waktu lanjutannya itu.

Penemuan Anwar Iqbal Quresi boleh dijadikan dasar untuk memahami pengertian dan jenis riba yang dilarang dalam Al-Quran seperti yang ditegaskan dalam Surah Ar-Ruum ayat 39 (Makkiyah), Surah Ali Imran ayat 130 (Madaniyah), Surah An-Nisaa’ ayat 161 (Madaniyah) dan Surah Al-Baqarah ayat 275, 276, 278, 279 (Madaniyah).

Untuk memahami bagaimana syariah Islam mempengaruhi pembentukan suatu sistem ekonomi Arab pada masa Rasulullah SAW, kita harus melakukan kajian mendalam terhadap Al-Quran, kerana Rasulullah SAW menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan dalam membimbing dan menguruskan masyarakat ketika itu14.

Al-Quran merupakan firman Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.  Oleh kerana ia berasal dari Allah Yang Maha Mengetahui, Al-Quran ialah kitab yang sempurna dan menyeluruh, yang mencakup penjelasan tentang akidah, syariat dan al-ahkam yang meliputi perundangan yang berkaitan dengan masalah sosial, ekonomi dan politik.  Firman Allah SWT dalam Al-Quran berbunyi :

“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu.  Jadi jangalah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku, pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu sebagai agama bagi kamu”  (Surah Al-Maidah [5] : 3).

Menurut Dr. Muh. Zuhri, ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW pada periode Mekah, banyak mengandungi kecaman terhadap perilaku ekonomi masyarakat Mekah sebelum Islam, yang lebih cenderung mengumpul harta dan mengabaikan orang miskin dan anak-anak yatim.  Di antara surah-surah periode Mekah yang mengandungi kecaman ialah Surah At-Takaatsur ayat 1 dan 2, Surah Al-Humazah ayat 1-3 dan Surah Al-Maa’un ayat 2-515.

Manakala ketentuan-ketentuan syariat Islam yang diturunkan semasa periode Madinah adalah untuk menegakkan ketentuan tentang konsep keadilan ekonomi.  Perintah penghapusan riba dan kewajipan membayar zakat juga turun semasa periode Madinah.  Ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan setelah hijrah ke Madinah disebut periode Madinah.  Periode ini dikenali sebagai periode penataan dan pemapanan masyarakat sebagai masyarakt contoh16.

Misi Ekonomi Islamik
Di antara misi yang ingin dicapai dalam sistem ekonomi Islamik ialah supaya terwujudnya persamaan martabat di antara manusia, di mana kita perlu menegakkan keadilan terutamanya dalam pengagihan pendapatan. Secara makro, misi ini bertujuan untuk  mewujudkan negara yang baik (yang mampu mewujudkan kehidupan masyarakat yang adil dan makmur) serta diredai Allah SWT (baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur).

            Mengenai banyaknya surah-surah dalam Al-Quran yang membincangkan tentang ekonomi, Dr. Muh. Zuhri mengambil pendapat Prof. Abdul Wahab Khallaf yang mengatakan ada 70 ayat yang membicarakan tentang perniagaan dan pinjaman.   Manakala menurut Prof. Harun Nasution, 228 daripada 368 ayat adalah ayat-ayat yang mengatur kehidupan duniawi, manakala banyak daripada ayat-ayat itu  mengatur kesejahteraan ekonomi dan keluarga17.

            Khusus mengenai Hadis Rasulullah SAW, Akram Khan dalam bukunya yang bertajuk Economic Teachings of Prophet Muhammad (may peace be upon him), cuba memilih dan mengumpul hadis yang berkaitan dengan ekonomi.   Buku yang judulnya bermaksud ‘Ajaran Nabi Muhammad SAW tentang ekonomi’ itu memuatkan hadis-hadis yang berkaitan dengan 11 kegiatan utama ekonomi iaitu tentang hak milik, kekayaan, mencari rezeki, tanah, buruh, modal, mekanisme pasar, duit dan kredit, kewangan negara, pembangunan ekonomi dan juga tentang nilai-nilai ekonomi18.

            Dengan terkumpulnya petunjuk-petunjuk yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis-hadis tentang ekonomi, maka terdapat tanda-tanda jelas yang menunjukkan suatu sistem ekonomi memang sudah beroperasi, yang mana sesuai dengan ajaran-ajaran Islam (rujuk Gambar 1).  Dari sinilah kita dapat mendalami wawasan, misi, mekanisme pengaturan dan juga peralatan ekonomi yang telah berkembang sepanjang sejarah.  Wawasan, misi, mekanisme pengaturan dan juga peralatan ekonomi itu merupakan unsur-unsur utama dari sesuatu sistem yang merupakan sebuah konsep yang utuh, berteraskan Islam,   semakin lengkap dari masa ke semasa dan terus-menerus disempurnakan.

            Kalau dilihat dari segi wawasannya, iaitu gambaran masa depan yang mahu dicapai oleh sistem ekonomi Islam, apa yang mahu diperolehi ialah kebaikan ataupun kesejahteraan dunia dan akhirat bagi semua umat manusia.  Perkara ini digambarkan dengan jelas dalam doa umat Islam yang terdapat dalam Surah Al-Baqarah [2] ayat 201, yang berbunyi :

            “Dan di antara mereka, ada yang berdoa, Ya Tuhan Kami, berilah Kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah Kami dari seksa neraka.”
           
            Dua dimensi kebaikan ataupun kesejahteraan yang ingin diraih, sama ada di dunia mahupun di akhirat, adalah unik kerana perkara seperti ini tidak pernah disentuh dalam mana-mana sistem ekonomi pun.

            Di antara misi yang ingin dicapai dalam sistem ekonomi Islam ialah wujudnya persamaan martabat di antara umat manusia, di mana kita perlu menegakkan keadilan terutamanya dalam mata pencarian dan pendapatan.  Secara makro, misi ini bertujuan untuk  mewujudkan negara yang baik (yang mampu mewujudkan kehidupan masyarakat yang adil dan makmur) serta diredai Allah SWT (baldatun toyyibatun wa rabbun ghafuur).

            Dengan wawasan dan misi ini, kita perlu mekanisme pengaturan yang menjamin persamaan martabat manusia melalui pengagihan pendapatan yang adil, seperti larangan memakan dan mengusahakan barang riba, larangan menyembunyikan atau melebihkan barangan dan manipulasi harga, larangan mengurangkan gaji dan mengabaikan kebajikan pekerja.  Modal juga tidak boleh terlepas dari acuan moral yang luhur supaya ia mampu memperbaiki taraf hidup manusia secara keseluruhannya.

            Untuk memungkinkan terlaksananya peraturan yang boleh menjamin pengagihan pendapatan yang adil dan saksama, dalam khazanah hukum Islam (fikah) sudah sedia ada pola-pola hubungan kerja dan perniagaan yang boleh menguntungkan pemilik modal, ahli perniagaan dan juga pekerja.   Contohnya, syirkah ataupun musyarakah, qirad ataupun mudharabah, murabahah dan lain-lain.   Dengan mengamalkan pola-pola hubungan kerja seperti yang disebutkan di atas,   amalan-amalan pembungaan wang, penimbunan barang, manipulasi harga dan lain-lain amalan yang akan merugikan masyarakat akan tersingkir secara automatik.   Daripada kajian-kajian yang dibuat oleh para ahli ekonomi Islam, diyakini bahawa ketentuan-ketentuan tersebut telah pun dilaksanakan pada zaman Rasulullah SAW, Khalifah Rasyidin dan juga Daulah Islamiyah.

            Satu perkara penting yang harus diperhatikan ialah kajian sejarah mengatakan istilah peraturan yang bersifat normatif ataupun positif tidak dikenali dalam masyarakat Islam kerana amalan itu telah melekat dalam kehidupan mereka sehari-hari.  Sejarah mencatat bahawa penerapan peraturan yang dilakukan secara konsisten mampu membawa masyarakat ke tahap kesejahteraan yang adil dan saksama.  Contoh-contoh pencapaian dan kejayaan yang diperolehi dari sistem ekonomi Islam sudah jelas tercatat dalam sejarah.

            Perbincangan tentang perkembangan pemikiran ekonomi Islam pada ketika para Khalifah menggantikan Rasulullah SAW, akan berkisar pada pengembangan peraturan yang diperlukan untuk memperkuatkan ekonomi Islam secara benar.

Posting Komentar

Please Select Embedded Mode To Show The Comment System.*

Lebih baru Lebih lama